Thursday 2 February 2012

Ganjaran pahala solat Subuh mengatasi keindahan dunia



Ganjaran pahala solat Subuh mengatasi keindahan dunia


Ganjaran pahala solat Subuh mengatasi keindahan dunia


RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, 
maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan
 Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya,
 lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)


Muhammad Abdur Rauf al-Munawi dalam kitabnya at-Ta'arif menegaskan, as-Subhu atau 
as-Sabah adalah permulaan siang hari, iaitu ketika ufuk berwarna merah jingga di langit tertutup 
oleh tabir matahari. Adapun solat Subuh ibadat yang dilaksanakan ketika fajar siddiq
 dan berakhir pada waktu matahari terbit.


Solat Subuh memiliki banyak daya tarikan kerana kedudukannya dalam Islam dan
 nilainya yang tinggi dalam syariat. Banyak hadis mendorong untuk melaksanakan 
solat Subuh serta menyanjung mereka yang menjaga dan mengerjakannya.


Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit dan payah
 untuk bangun dari tidur. Seorang Muslim bila dibiarkan begitu saja (tertidur), akan 
memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan
 solat Subuh, atau ‘Subuh gajah’, iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul.


Rasulullah SAW mengkhususkan solat subuh dengan beberapa keistimewaan tunggal dan 
sifat tertentu yang tidak ada pada solat lain. Banyak keutamaan dan kelebihan yang didapati 
di waktu subuh.


Salah satu keutamaannya adalah Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang bergegas dalam
 melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis: “Ya Allah, berkatilah 
umatku selama 
mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya).” (Hadis riwayat Termizi, Abu Daud,
 Ahmad dan Ibnu Majah) 


Jika Rasulullah SAW yang berdoa, maka tidak ada hijab di antara Baginda dengan 
Allah SWT kerana Baginda sendiri adalah orang yang secara jasadiyah paling dekat
 dengan Allah SWT.


Waktu Subuh adalah waktu yang paling baik untuk mendapatkan rahmat dan keredaan
 Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama
 dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap 
keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana
 mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya 
sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan 
adalah keadaannya itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi, ayat 28)


Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seisinya,
 sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Termizi: “Dari Aisyah telah bersabda
 Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.” 


Begitulah keistimewaan solat Subuh. Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut
 dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat Subuh? Bukankah solat Subuh menjadi bahagian
 yang begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?


Diriwayatkan Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang 
maksudnya:


“Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, 
barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam
 satu malam penuh." (Hadis riwayat Muslim).


Solat Subuh adalah sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Di hari itu, semua sumber
 cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya.


Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang
 maksudnya: “Barang siapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga.” 
(Hadis riwayat Bukhari). Dua waktu yang dingin itu adalah solat Subuh dan Asar.


Mereka yang menjaga solat Subuh dan Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat Allah SWT.
 Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, 
ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, “Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah),
 sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. 
Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum 
terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.” 
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 


Rasulullah SAW memberi janji, apabila solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan
 melindungi siapa saja yang mengerjakannya seharian penuh. Rasulullah SAW bersabda
 yang maksudnya: “Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah
. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. 
Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT
 akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka.
” (Hadis riwayat Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah) 


Semoga kita tetap menjaga dan memelihara solat Subuh seperti dijanjikan Allah. 
Bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan berkumandang untuk segera
 mengerjakan solat Subuh.




Ganjaran pahala solat Subuh mengatasi keindahan dunia






klik sini


beliemas.com

No comments:

Post a Comment